Thursday, August 04, 2005

Jaga-jaga, saya mahu muntahkan isi hati.

Jaga-jaga, saya mahu muntahkan isi hati
Wednesday, June 22 @ 10:32:15 MYT
Oleh Melintang Sesayap

Malam hari terasa gelisah tidur saya. Kalih ke kiri tak kena, alih ke kanan lagi tak kena. Ini berlaku semenjak beberapa purnama sudah. Ia rentetan tersentuh, tersinggung serta tersembamnya hati saya apabila tertangkap di telinga serta terpandang di mata saya akan kata-kata, saranan, pendapat dan kesimpulan beberapa kerat manusia yang amat menghiris naluri dan mengopakkan fikiran saya. Kalau pak menteri, wakil rakyat, ulama, ustaz boleh tidur lena baguslah. Barangkali kerana empuknya tilam ataupun empuknya wang simpanan. Saya tentu tidak sama mimpi dengan mereka mungkin kerana empuknya kerusi rotan dan lantai parkir di rumah.

Itu juga barangkali menyebabkan lena saya terganggu kerana kerusi dan lantai itulah ‘bilik tidur’ saya kerana bilik tidur sendiri dihuni oleh isteri dan anak-anak saya. Maklumlah rumah pangsapuri dua bilik. Satu bilik tidur dan satu bilik stor.
Loya dan muntah

Saya bukan ahli dalam mana-mana bidang, tetapi terasa hati saya ingin memuntahkan isi hati tepat di muka mereka. Tidak tahan lagi saya menahan loya ini. Sudah lama dan makin lama makin memualkan apabila pendapat mereka ini semakin berpanjangan.

Untuk Jeff Ooi, saya rasa masing-masing ada zon dan kawasan ekslusif, luxury dan larangan sendiri. Izinkan saya menggunakan istilah ‘kawasan larangan’ untuk agama dan amalannya. Bangsa Malaysia yang berbilang etnik masing-masing mempunyai ‘kawasan larangan’ mereka sendiri. Baik Cina, India, Sikh, Iban, Melayu dan rangkaian bangsa lain masing-masing memahami dan toleransi antara satu sama lain.

Hak kepercayaan, beragama dan menghormati telah lama dihadam oleh pelbagai kaum di Malaysia. Bisingnya tarian singa, bingitnya suasana mengangkat khavadi ataupun desingnya suara azan berkumandang setiap hari tidak pernah dipertikai dan dipersoal oleh sesiapa. Walaupun ada segelintir yang merungut namun tetap menerima dalam suasana toleransi. Suasana provokasi soalan dan terjahan pendapat tidak kedengaran di era 80-an dan 90-an. Namun telah mula bibit cinta kebiadapan di era dunia tanpa batasan dan tanpa pakaian ini. Telah banyak kokokan dan nyalakan nyaring suara sumbing menyoal amalan, kepercayaan dan hukuman agama Islam.

Sensitif

Ini adalah ‘kawasan larangan’. Sekadar mengintai, menjenguk atau bertanya khabar di ‘kawasan larangan’ atau zon ekslusif tidak mengapa, malah dialu-alukan. Akan tetapi sekiranya ‘kawasan larangan’ ini dilangkau, diterjah, ditebas, dihenyak, dironyok, ditertawakan, dilawak-jenakakan, malah ingin pula menghalang serta menutup ‘kawasan larangan’ ini, pasti ia mengundang amarah yang tak terhingga dan membuak-didihkan di kepala penghuninya. Begitu juga kalau saya lakukan yang sama pada ‘kawasan larangan’ Datuk Seri Lim Kheng Yeik ataupun zon ekslusif Jeff Ooi.

Kalau rumah mereka ini semak dan bersepah, bukan urusan saya untuk ambil peduli. Bukan tugas saya mengajar mereka bagaimana nak beli penyapu, jenama penyapu apa yang paling baik dan cara-cara meyapu yang efektif. Itu rumah mereka.

Tetapi sekiranya sepah dan sampah itu membusuk ke hidung saya dan mengganggu lena anak isteri saya, saya rasa itu hak saya sebagai jiran untuk menegur. Selagi ia tidak menganggu teruskanlah aktiviti masing-masing.

Hentikanlah

Jadi saya rasa lebih baik hentikan lelucon, sendaloka atau soalan tak berpangkal terhadap amalan agama saya. Amalan agama saya bukan suatu bahan ejekan dan bahan mainan. Letakkan diri anda di tempat saya. Kalau tujahan itu terpalit kepada amalan agama anda, apakah respons anda? Adakah laksana halilintar turun dari langit?

Kalau ingin bertanya, silakan. Kita ingin beri pemahaman kepada mereka yang tidak tahu dan naïf terhadap agama Islam. Bukan untuk memaksa mereka memeluk agama Islam. Sekadar mengetahui asas agama kita apalah salahnya.

Tetapi kalau bertanya, kemudian menjawab dan marah pula kepada yang disoal, saya rasa itu unsur-unsur kurang sopan dan amatlah aneh sikap tersebut.

Kalau sendiri bertanya dan sendiri menjawab, saya sarankan intai-intailah, datanglah serta jengahlah ke Ulu Kinta atau ke Tampoi sebab anda akan bertemu pesakit yang bertanya soalan (ingin tahu) lantas menjawab pula soalannya dengan sendiri!
Lebih terhibur lagi, pesakit ini tertawa segila-gilanya mengenangkan sesi soal jawab sendirinya.
Kalau Lim Kheng Yeik marah kepada orang yang tidak bersalam dengannya, salamlah orang lain yang pada hemat saya amatlah ramai yang ternanti-nanti, tertunggu-tungu untuk bersalam dengan Datuk Seri. Bukan setakat salam, peluk cium pun boleh diwajarkan kerana bukan sikit penyokong dan peminat Datuk Seri.

Tenang, satu demi satu.

Betulkan dahulu laras bahasa Datuk Seri sebelum cuba untuk membetulkan agama orang lain. Seperkara lagi, dalam memberi kenyataan media, bertuturlah dengan tenang dan bercakap satu demi satu. Jangan terkapai-kapai tangan dan tak tahu hujung pangkal percakapannya.
Datuk Seri amat hebat bertae-kwan-do ataupun berkung-fu di gelanggang ataupun stadium sendiri. Saya hanya memerhati dari luar sahaja. Tiada tiket dan tidak dibenarkan masuk. Kalau lebih ‘gentleman’, bukalah pintu dan izinkan saya masuk dan kita bertai-chi atau berkarate di gelanggang terbuka.

Baiklah kita berpindah pula kepada Sisters in Islam dan Astora Jabat serta juak-juak mereka, yang merupakan rakyat atau penghuni ‘kawasan larangan’ sendiri. Mereka ini juga sedarah se-Islam saya. Sebaka dengan saya dan dilahirkan di ’kawasan larangan’ ini.

Kalau mereka ini ingin tahu atau ada kemusyikilan tentang agama sendiri atau tidak puas hati tentang amalan agama sendiri, kita alu-alukan pelbagai gelanggang untuk berpencak. Buka bunga dan langkah masing-masing. Tunjukkan kehebatan dan tajamkan senjata (sekiranya ada), bukannya bersilat secara solo dan berpencak secara sendirian.

Keluarlah hujah, bahas, debat, kajian, tesis atau apa sahaja untuk membuktikan kebenaran. Anda arif di bidang agama maka bersualah dengan pakar agama juga untuk cari titik penyelesaian.

Daif dan kabur.

Bukannya menyeret rakyat yang naïf, daif, jahil, kurang arif atau kabur tentang agama untuk mendengar hujah dan syarah anda. Tidak perlu juga buat onar, buat kecoh dan hinggar-bingar di luar ’kawasan larangan’. Jangan ludah ke atas nanti menitik ke muka sendiri. Dan kalau ludah ke bawah, jangan jilat kembali. Memalukan agama dan umat Islam sendiri.

Untuk Sisters in Islam dan Astora Jabat, kalau ingin menyertakan dalil-dalil Al-Quran dan Hadis, jangan diambil sekerat-sekerat yang boleh disesuaikan ikut sesedap rasa. Kalau stand by prinsip, bertegaslah. Jangan sana ooo di sini aaa. Jangan sekejap betul, sekejap bedul!
Kalau ingin ijtihad, ijtihadlah. Saya kepingin benar melihat Sisters in Islam dan Astora Jabat keluar fatwa secara sendiri dan teguh dengan prinsipnya.

Kalau rasa bertudung itu haram dan buka aurat itu halal. Letakkanlah hukumnya. Isytiharkanlah! Nyatakan dalam syarahan anda ataupun melalui komentar mahupun tulisan anda.

Sila isytiharkan bahawa buka aurat itu bakal dapat ganjaran pahala daripada Allah Taala. Katakan bahawa tiada ayat berkaitan dengannya. Atau kalau ada, ia salah tafsiran. Terus terang sahaja. Juga terhadap lain-lain isu. Janganlah serupa lalang. Kalau dah semak dan tinggi sangat lalang ini, nanti ditebas dan diracun orang.

Tanya hati kecil

Pendekatan paling akhir, saya minta kalau tak keberatan tanyalah hati kecil masing-masing kerana hati kecil tidak pernah menipu dan hati kecillah yang akan memberi pendapat sejujur-jujurnya. Tanyalah bila hampir diulit lena. Betulkah apa yang dilakukan dan diyatakan? Masih belum terlambat sebelum nyawa tersedut dikerongkong.

Alhamdulillah saya telah pun bertanya hati kecil saya dan jawabnya ialah bongkarkanlah isi hati ini. Lega dada rasanya, muntah ini telah saya sembur-keluarkan.

Jangan usik saya, saya nak tidur! - um