Sunday, August 14, 2005

Kembalikan hak berkhutbah kepada masjid

Kembalikan hak berkhutbah kepada masjid
Saturday, August 13 @ 16:10:25 MYT
Oleh HANG JEBAT
Selangor

Semasa saya kecil dan remaja, saya rasa seronok dan berkobar-kobar setiap kali hendak pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Ia kerana saya sentiasa tertanya-tanya apakah isu, ilmu dan pengajaran yang bakal dipersembahkan oleh khatib nanti.

Dan kalau kita hendak tonton pula siaran ulangan khutbah di televisyen, kita hendak dengar pula apa dia khutbah yang disampaikan dari Masjid Negara, dengan itu kita boleh dapat lagi ilmu dan pengajaran yang lain pula.

Tetapi kini semua sudah berubah. Malah menonton siaran ulangan khutbah dari Masjid Negara tiada maknanya lagi. Kerana semua khutbah-khutbah di masjid-masjid semuanya sama!
Yang lebih mengecewakan kadang-kadang khutbah-khutbah itu tidak ikut langsung perkembangan semasa, sebagai contoh masalah jerubu yang kita hadapi sekarang. Ia melalut kepada isu yang entah apa-apa, yang kadang-kadang membosankan para pendengar!
Kini jiwa saya tidak boleh tahan lagi. Nampaknya tujuan khutbah itu telah menyimpang, kerana setiap masalah-masalah setempat adalah tidak sama.

Contohnya ada tempat mempunyai masalah dadah yang teruk, ada masalah seks bebas, ada yang masalah jerubu, ada masalah murtad dan lain-lain masalah.

Jadi sepatutnya khutbah Jumaat ini berfungsi untuk mendidik masyarakat setempat supaya lebih baik dan menuju ke jalan yang lurus, seterusnya membentuk ummah yang sihat dan kuat.
Seolah-olah khutbah Jumaat sekarang jadi alat politik pemerintah pula. Hanya menyediakan khutbah yang kerajaan mahu rakyat dengar, tetapi bukan apa yang hendak didengar oleh rakyat dan apa yang lebih perlu untuk diisi ke dalam jiwa rakyat.

Kalau kerajaan sekarang telus, mengapa perlu takut? Kalau apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan benar-benar sempurna, mengapa gejala sosial sekarang berleluasa? Ajaran sesat menjadi-jadi? Dan beribu-ribu anak muda kita tidak dapat membaca Quran dengan betul?
Takut benar pihak tertentu ini kalau-kalau ada tuan khatib mengkritik kerajaan, sehingga sanggup buat peraturan yang tidak pernah dibuat sendiri oleh Nabi s.a.w.

Pernahkah Nabi s.a.w. menyarankan agar semua masjid ikut teks yang sama pada masa baginda? Pernahkah para-para sahabat berbuat demikian walaupun pada waktu itu berlaku juga pergolakan politik yang hebat. Atau adakah negara-negara lain yang buat begini?
Sejak saya kecil, tidak pernah pun saya dengar khutbah yang kononnya ada unsur politik atau pembangkang. Kalau ada pun, rintihan tuan khatib terhadap masalah sosial yang berlaku. Saya rasa itu pun ada telinga yang rasa panas mendengarnya, dan terus menuduh khatib berpolitik di mimbar masjid.

Apakah masalah sosial ini hanya isu pembangkang? Kerajaan apakah yang langsung tidak boleh terima rintihan, apa lagi kritikan?

Janganlah kita mudah lupa teladan kisah Temasek dilanggar todak. Seorang budak yang telah menyelamatkan negaranya dibunuh oleh pemerintah yang zalim.
Apakah gunanya kita mempunyai para imam yang berilmu tingg hanya sekadar untuk membaca teks yang disediakan? Kalau begini, kanak-kanak sekolah agama pun boleh jadi khatib!

Peraturan ini hanya membantutkan perkembangan ilmu dan kreativiti para imam untuk memberi sumbangan pada masyarakat.

Maklumlah waktu mana lagi umat Islam berkumpul beramai-ramai pada satu masa selain solat Jumaat? Tentulah khutbah itu sangat kritikal supaya ia berkesan untuk bekalan jiwa semua orang Islam yang datang untuk bersolat.

Sebagai hamba yang lemah, saya berdoa agar Allah memberi pengajaran dan pembalasan pada pihak yang mengada-adakan peraturan yang menyeleweng. Peraturan yang menghalang para makmum mendengar khtubah yang sepatutnya diisi ke dalam jiwa kami. Peraturan yang menghalang khatib dari niat mereka yang ingin mendidik dan membentuk masyarakat.

Saya berdoa sebagai orang yang teraniaya sehingga khutbah Jumaat diserahkan semula kepada masjid, sehingga saya dapat mendengar semula khutbah-khutbah seperti masa-masa dulu. - um

No comments: