Thursday, August 04, 2005

PAS mengancam demokrasi.

PAS mengancam demokrasi.

Fathi Aris Omar

Apr 11, 05 12:03pm

Ketua Pemuda PAS menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas 50 badan bukan kerajaan (NGO) dan lebih 200 individu yang mengirim memorandum agar persoalan ‘moral’ (maksudnya di sini, dari perspektif mereka) dipisahkan daripada pentadbiran negara. “Jika kerajaan boleh menggunakan (akta) ISA ke atas ahli politik, Al-Arqam, Kumpulan Militan Malaysia (KMM) atas alasan keselamatan negara, maka kerajaan juga boleh menggunakan tindakan undang-undang ke atas kumpulan 50 NGO ini," Salahuddin Ayub dilaporkan berkata (Harakahdaily.net, 7 April).

Beliau juga dilaporkan mendesak dengan tegas agar kerajaan menyiasat dan mendakwa badan-badan bukan kerajaan itu di mahkamah berikutan “tindakan liar mereka yang jelas telah mengancam keselamatan negara”. Bagi Salahuddin, 50 NGO dan lebih 200 individu itu menyebarkan “pemikiran yang berbahaya kepada akidah dan keselamatan negara”! Berita ini tidak menyatakan dengan tegas sama ada Salahuddin menggesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atau akta-akta lain, dikenakan ke atas badan-badan bukan kerajaan dan individu-individu itu tetapi beliau beberapa kali menyebutkan tindakan mereka itu sejenis ancaman kepada “keselamatan negara”. Jadi, saya syak gesaan Pemuda PAS itu termasuk penggunaan akta ISA.

Jika PAS boleh menilai dengan lebih tenang, memorandum itu hanyalah permintaan sekelompok ‘masyarakat sivil’ yang tiada kuasa apa-apa, jauh lebih lemah daripada parti politik seperti PAS (yang dikategorikan dalam ‘masyarakat politik’). Sementara peraturan yang mengawal moral itu masih lagi berjalan sekarang (dan tidak ada tanda-tanda untuk dibuang).

Memorandum itu tidak ubah seperti sekumpulan kertas lain yang dikirim kepada kerajaan selama ini, yang bakal dibiarkan berlalu begitu sahaja! Tetapi nampaknya Salahuddin, PAS dan pendukung Islam jenis fundamentalisme tiba-tiba melatah, tenggelam punca dan kaget melulu. Misalnya, kenyataan daripada presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin, yang sangat alarmist sifatnya.

No comments: