Thursday, August 04, 2005

Jangan melampau dalam berkata-kata tentang agama.

Jangan melampau dalam berkata-kata tentang agama.
Friday, June 24 @ 16:00:52 MYT Oleh Gayung Bersambut

Kata-kata siapa yang harus atau wajib kita percayai selama ini? Kata-kata yang terpacul daripada mulut seorang Perdana Menteri, timbalannya, para menteri, wakil rakyat, pemimpin NGO dan pembangkang, pihak berkuasa, para ulamak dan mufti, pendidik, rakan atau keluarga kita sendiri?Setakat ini saya hanya mempercayai kata-kata ibu saya nan seorang. Ibu yang tahu isi hati anaknya. Ibu yang tahu kepayahan anaknya. Ibu yang masih percaya walaupun anaknya curang.

Kita sering dimomokkan, dimuntahkan, ditujahkan dan dilembutkan dengan kata-kata "bersyukurlah dengan apa yang ada", "jangan bincang perkara yang sensitif terhadap agama orang lain", "kita akan pantau", "kita akan siasat", "kita akan pastikan", "kita tunggu laporan", "kita akan bincangkan dan majukan", "kita akan usahakan" dan bermacam rencah lagi kata-kata yang saya rasakan bukan sahaja telah basi, tetapi sudah berada di tahap "bangkai".
Di muka-muka akhbar sering terpapar kenyataan-kenyatan pelbagai pihak yang kerap kali "menyenakkan" fikiran kita. Bagi golongan yang bergantung semata-mata kepada akhbar dan pemimpin dalam menentukan hala tuju hidup mereka, mereka akan terima bulat-bulat, telan dan mamah walaupun pahit. Seringkali juga terjadi percanggahan pendapat antara pemimpin sesama pemimpin serta tokoh-tokoh profesional dan tidak lupa tokoh-tokoh agama.
Saya ingin meyeret pengkhususan percanggahan pandangan pemimpin dan tokoh agama. Percambahan idea amat digalakkan, namun berkaitan aspek-aspek sensitif yang memerlukan ilmu mendalam untuk mengupasnya, saya rasa ia tidak wajar dibuka sewenang-wenangnya kepada umum.

Agama dan cabang-cabangnya apabila dibincangkan secara terbuka memberi ruang kepada orang lain untuk turut serta dalam permasalahan itu. Tidak lupa juga ia memberi peluang kepada orang lain untuk mentertawakan kita.

Malah lebih parah lagi, mereka ini mengasak agama kita dengan pelbagai seranah, cacian, umpatan dan dengan pendapat "hilang akal" mereka.
Saya cukup terguris apabila orang lain sibuk membicarakan agama saya secara terbuka tanpa tahu sensitiviti saya dan rakan-rakan seagama. Bila kita berhasrat untuk berbicarakan agama orang lain, kita ditinggalkan dengan pesanan dan amaran bahawa perkara seumpama itu amatlah sensitif untuk dibincangkan.

Orang lain boleh, sedangkan kita tidak boleh. Adakah sensitiviti saya disimpan di dalam peti sejuk? Adakah maruah agama saya produk iklan yang boleh dijaja merata-rata yang boleh dihina, dicaci, ditohmah, dibeli, dijual atau dibuang sahaja.

Saya sarankan agar sikap biadap ini dihentikan! Dan untuk rakan-rakan seagama saya yang juga melampaui batas dengan mengherdik dan menajiskan agama sendiri, saya syorkan, sekiranya tidak berminat sila keluar dalam ruang lingkup agama saya.

Sudah sampai masanya kita alihkan kaki mereka dari kepala kita. Jangan biarkan kaki mereka di kepala kita dan terus-terusan mengenyeh dan menyagat muka kita ke lantai. Saya rasa perlu kita lakukan serangan dan cantas kaki mereka ini dengan sesungguhnya.
Sekarang adalah masa tumbuk rusuk! Serangan balas tubi dan pangkah mati!
Janganlah di kemudian hari kita dipanggil dengan nama-nama seumpama "pendayus, penderhaka, pengkhianat dan penjilat!" kerana tidak mempertahankan agama kita. - um

No comments: